`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, February 17, 2013

Anwar Mohon Maaf Kesilapan Letak Wee Choo Keong!



Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim meminta pengundi di Wangsa Maju memberi sokongan penuh kepada Penyelaras KEADILAN kawasan itu, Tan Kee Kwong pada Pilihanraya Umum Ke-13.

Sambil menyifatkan Kee Kwong adalah calon yang tepat bertanding di Wangsa Maju, Anwar berkata, tindakannya dulu meletakkan Wee Choo Keong bertanding di Wangsa Maju pada pilihanraya umum lalu adalah satu kesilapan.
 
“Saya memohon maaf kepada penduduk di Wangsa Maju kerana telah meletakkan Choo Keong bertanding di Wangsa Maju lalu menang menjadi Ahli Parlimen di sini tetapi akhirnya beliau melompat parti.
 
“Tetapi pada kali ini, saya berharap pengundi Wangsa Maju akan memberi sokongan penuh kepada Kee Kwong pada PRU13 kerana beliau adalah seorang pemimpin yang baik. Malah kita kenal latar belakang keluarganya,” katanya semasa berucap ketika menghadiri Majlis Sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Bersama Anwar Ibrahim di Prima Setapak, semalam.
 
Kira-kira 5,000 orang hadir pada majlis tersebut yang turut dihadiri Presiden KEADILAN, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
Hadir sama Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dan Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Idris Ahmad.
 
Pada majlis tersebut, Kee Kwong dibayangkan merupakan calon yang dijangka bertanding di kerusi panas Wangsa Maju setelah Ketua Umum KEADILAN itu meminta pengundi Wangsa Maju memberi sokongan kepadanya.
 
Sementara itu, Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Mazlan Abdul Jalil berkata, Kee Kwong adalah calon yang tepat untuk mewakili Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum nanti.
 
“Beliau adalah calon tunggal yang akan meneruskan penguasaan Pakatan Rakyat di Wangsa Maju malah setakat ini parti komponen dalam Pakatan Rakyat juga tidak menuntut kerusi di Wangsa Maju,” katanya,
 
Kee Kwong ketika ditemui berkata, beliau menerima dengan hati terbuka untuk bertanding di Wangsa Maju di atas kepercayaan penuh parti.

“Jentera parti telah melakukan persiapan pada PRU13 dan saya berjanji akan bekerja untuk parti, rakyat dan negara bagi memastikan negara ini ditadbir dengan bermaruah.
 
"Malah saya sangat optimis Pakatan Rakyat akan menang di Wangsa Maju pada pilihanraya kali ini,” katanya.
 

Difahamkan Umno menuntut kerusi tersebut dari tangan MCA sekaligus menambah kemelut dalaman Barisan Nasional (BN) menjelang pilihanraya umum yang mesti diadakan sebelum 28 April ini.

- Jalan Pulang

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.