`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, March 6, 2013

KEGANASAN UNTUK ‘ORANG SULU TERTINDAS’




Oleh : JAHABAR SADIQ
RANCANGAN Sultan Sulu memasuki Sabah diketahui sejak Ogos tahun lalu oleh penasihatnya yang mendakwa telah menangguhkah keputusan sebanyak empat kali sebelum memutuskan untuk masuk pada bulan lepas bagi menyelamatkan pengikutnya daripada 'ditindas' di negeri Borneo tersebut.

The Philippines Inquirer melaporkan ahli strategi politik Filiipina, Pastor 'Boy' Saycon mengakui dirinya sebagai penasihat kepada Sultan Sulu Jamalul Kiram III dalam menuntut Sabah, mendedahkan cubaan kali pertama untuk memasuki Sabah adalah pada Ogos diikuti dengan satu lagi pada September 2012.
“Sebelum saya bercakap dengan raja muda, saya mendengar beliau menentang arahan menyuruhnya berhenti bertindak apabila pengikutnya di Sabah ditindas dan mereka malu kerana tidak dapat melakukan apa-apa.

“Beliau membantah terhadap hukuman kaum Tausug di Sabah. Mereka disebat oleh pasukan polis sebelum dihantar ke Sulu dan Tawi-Tawi,” kata Saycon yang merujuk kepada adik sultan, Agbimuddin Kiram yang mengetuai pencerobohan di Sabah.

Saycon, antara individu yang memainkan peranan dalam pengusiran Presiden Joseph Estrada pada 2001 berkata selepas Manila menandatangani perjanjian damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) Oktober tahun lalu telah timbul keadaan tegang dalam kesultanan tersebut tetapi tiada rancangan untuk menawan Sabah disebut.

Kiram khuatir dan kecewa selepas permintaan mereka kepada kerajaan untuk memasukkan Sabah dalam rundingan damai dengan Bangsamoro tidak dipertimbangkan, Saycon dipetik berkata dalam akhbar edisi Ahad lalu.

Cubaan kali ketiga adalah pada November dan Saycon berkata beliau merayu kepada sultan untuk menghentikan Agbimuddin daripada pergi.

Cubaan ketiga tersebut timbul tidak lama kemudiaan selepas Jamalul mengeluarkan arahan 'Perintah Diraja' membenarkan 'Perjalanan Pulang' Agbimuddin ke Sabah. Perintah tersebut dikeluarkan semasa mesyuarat antara suku kaum di bandar Zamboanga.

Saycon berkata beliau tidak mengetahui tentang perintah tersebut sehinggalah sultan memberitahunya.

Beliau menambah suatu ketika semasa Hari Natal, beliau mendapat tahu Agbimuddin sudah berjaya mengumpulkan pengikut bersenjata dan bersiap-sedia untuk merentasi masuk ke Sabah.

Namun sekali lagi Saycon campur tangan dan mengarahkan Jamalul untuk menghentikan rancangan Agbimuddin.

Setiausaha agung Majlis Hal Ehwal Filipina (Copa) tersebut berkata tindakannya tersebut atas kapasiti peribadi sebagai penasihat kepada Sultan dan bersetuju untuk menerangkan penglibatannya dengan kesultanan Sulu selepas ketegangan di Kampung Tanduo, Lahad Datu menjadi ganas hingga menyebabkan kematian dua anggotan polis Malaysia dan 12 pengganas.

Pemilik rumah yang dirampas oleh kumpulan Agbimuddin ketika memasuki Lahad Datu pada 9 Februari juga telah dibunuh.

“Sebagai seorang penasihat kepada sultan, saya membantu beliau mengumpul bukti dan dokumen bagi membantu dalam tuntutan ke atas Sabah kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Saya juga membantu beliau menyusun strategi supaya dia akan dapat menumpukan tenaga beliau kepada usaha patriotik dan beliau berjanji untuk meneruskannya walaupun menghidapi penyakit yang berlarutan,” kata Saycon.

Jamalul, 76, menghidap penyakit buah pinggang dan terpaksa menjalani rawatan dialisis sejak setahun lalu lagi.

Saycon berkata Jamalul menjelaskan kepadanya bahawa kesultanan tiada pilihan kecuali melaksanakan seperti mana yang dituntut oleh rakyatnya.

“Mereka akan hilang maruah mereka jika gagal melakukannya, kerana ramai pengikut telah menuntut untnuk merebut kembali Sabah. Itulah tekanan yang dihadapi sultan, “katanya.

Saycon berkata tidak mempunyai pilihan selain menyokong keputusan sultan tetapi tidak memaklumkan kepada kerajaan tentang rancangan pencerobohan tersebut memandangkan kesetiaannya kepada sultan tersebut.

“Saya sudah mengkaji tentang Sabah dengan mendalam dan saya cabar sesiapa sahaja untuk memberitahu saya tuntutan tersebut tidak sah dan ia wajar mendapat perhatian penuh bukan sahaja daripada kerajaan Filipina tetapi juga PBB,” tambah Saycon.

Meneruskan tuntutan ke atas Sabah menurutnya bukan suatu tindakan yang memalukan. (TMI)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.