`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, July 27, 2013

Polis Nak Tangkap Pengadu, Bukan Pesalah

Kes pengetua Sekolah Kebangsaan Pristana berhampiran Sungai Buloh itu yang bersikap perkauman jelas terbukti apabila beliau dengan sengaja mengatur para pelajar bukan Islam untuk makan di dalam bilik air apabila tibanya waktu rehat.

Selepas menyaksikan kejadian tersebut di hadapan matanya sendiri, seorang ibu pelajar dengan segera mengambil gambar keadaan tersebut dan memaparkannya ke dalam media sosial bagi mendapatkan pandangan orang ramai.

Sejurus daripada itu, pengetua sekolah tersebut mula menerima kecaman hebat daripada kalangan masyarakat umum di atas tindakannya yang boleh dikatakan tidak masuk akal. Alasan pengetua tersebut adalah, kantin sekolah itu sedang "dinaiktaraf" dan para pelajar sekolah tersebut terpaksa makan di dalam bilik air sewaktu rehat.

Kemudian timbalan menteri pelajaran P.Kamalanathan pula memberikan penjelasan beliau yang tidak begitu jelas mengenai kejadian tersebut tanpa mengemukakan bukti-bukti yang kukuh. Apakah niat sebenarnya tindakan pengetua Sekolah Kebangsaan Pristana berbuat demikian? Alasan pada mulanya adalah berkenaan dengan "tidak boleh makan secara terbuka" kini sudah menjadi "kantin sedang dinaiktaraf" pula.

Adakah kemmenterian pelajaran sedang menyembunyikan perkara yang benar? Bolehkah pengetua sekolah tersebut sendiri keluar untuk memberikan penjelasan beliau yang sebenarnya daripada menyorok di belakang timbalan menteri pelajaran?

Dan tiba-tiba pula, ketua polis Selangor A.Thaiveegan mengancam untuk mengambil tindakan mengikut Akta Hasutan terhadap ibu pelajar tersebut yang mengadu kepada orang ramai akan kejadian tersebut. Masalah di sini adalah, kenapa polis ingin menangkap si pengadu dan bukannya si pesalah yang jelas bersembunyi di sebalik "kantin sedang dinaiktaraf"?

Patutlah kegiatan jenayah semakin berleluasa di negeri Selangor. Orang yang mengadu tetap dipersalahkan sementara si penjenayah adalah tidak bersalah dan boleh melakukan apa sahaja untuk mengancam keselamatan orang ramai.

Di dalam keadaan sebegini, pihak polis sepatutnya menyiasat secara terperinci terlebih dahulu sebelum menggunakan Akta Hasutan untuk menakut-nakutkan mangsa. Kenapa hanya menyiasat dan cuba untuk mendakwa mangsa sementara si pengamal yang perkauman itu (pengetua sekolah) dilepaskan dengan begitu sahaja, oleh kerana alasan "kantin sedang dinaiktaraf"?

Kenapa polis tidak menyiasat kenyataan "tidak boleh makan secara terbuka" yang disebut oleh pengetua sekolah itu pada peringkat permulaan? Apakah yang sedang disembunyikan oleh pihak berkuasa dan kementerian pelajaran?

Adakah tindakan polis dan kerajaan adil di dalam menangani masalah tersebut? Ini jelas tidak adil! Jikalau benar alasan "kantin sedang dinaiktaraf", adalah dipaksa makan di dalam bilik air itu betul? Kenapa tidak diwujudkan kantin sementara di DEWAN sekolah yang lebih besar dan sesuai? Kenapa memilih bilik air yang ternyata lebih kecil dan tidak boleh menampung bilangan pelajar yang begitu ramai?

Pengetua sekolah tersebut perlu menjawab dengan jelas kesemua persoalan tersebut bagi meredakan keadaan. Dan di pihak polis pula, siasatlah keadaan tersebut terlebih dahulu, siasatlah punca kejadian dan bukannya melepaskan dendam membabi buta terhadap orang yang mengadu.

Dan jika sekiranya kerajaan pusat tidak serius di dalam membendung amalan dan sikap perkauman di dalam jentera pentadbirannya, adalah dibimbangi ianya akan menjadi semakin berleluasa dan memecahbelahkan lagi perpaduan dan persefahaman di antara kaum di dalam negara ini yang didapati semakin terhakis.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.